Istana Pahang nafi Tengku Mahkota bakal berkahwin


Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Istana Pahang menafikan dakwaan kononnya Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah, bakal melangsungkan perkahwinan pada April 2025 seperti yang tular di media sosial.

Dalam kenyataan rasmi hari ini, Istana Pahang menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas dan merupakan fitnah yang disebarkan oleh seorang individu bernama Faridah Daud di Instagram.

Individu berkenaan mendakwa dirinya bakal menjadi pasangan Tengku Hassanal dan memuat naik cerita palsu mengenai ‘istiadat perkahwinan’ tersebut.

“Istana Pahang telah beberapa kali mengesan hantaran fitnah yang dimuat naik oleh individu sama.

“Orang ramai diminta agar tidak mempercayai sebarang kenyataan yang tidak datang daripada sumber rasmi Kesultanan Pahang,” tegas kenyataan itu.

Menurut Istana Pahang, satu-satunya sumber sahih mengenai sebarang pengumuman rasmi adalah melalui Portal Rasmi Istana Pahang di istanapahang.my atau platform media sosial rasmi Kesultanan Pahang seperti Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.

Kenyataan tersebut turut memberi amaran keras bahawa tindakan tegas boleh diambil terhadap individu atau pihak yang menyebarkan fitnah atau mengancam keharmonian Istana Pahang.

“Istana tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha yang cuba mengganggu-gugat nama baik Tengku Mahkota Pahang dan Kesultanan Pahang,” tambah kenyataan itu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat