PDRM sokong INSG bendung jenayah siber

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyokong penuh inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam memperkenal Garis Panduan Keselamatan Maklumat dan Rangkaian Industri Komunikasi dan Multimedia (INSG) sebagai langkah strategik membendung jenayah siber di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pengenalan INSG adalah satu langkah positif yang relevan dengan perkembangan era digital.

“JSJK dan PDRM memahami bahawa ancaman siber merupakan salah satu cabaran terbesar yang perlu dihadapi, terutama dalam dunia komunikasi dan rangkaian yang semakin canggih.

“Sistem ini memerlukan perlindungan lebih ketat bagi memastikan keselamatan maklumat terjamin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, PDRM melihat pengenalan INSG sebagai langkah tepat untuk meningkatkan keselamatan maklumat dan rangkaian, selain memperkukuh daya tahan industri komunikasi negara.

“Sebagai agensi yang bertanggungjawab menjaga keselamatan awam, PDRM mengakui bahawa kerjasama antara pihak berkuasa, termasuk MCMC, adalah kunci utama untuk mengurangkan risiko ancaman siber,” katanya.

PDRM, katanya, akan terus memberikan sokongan padu dan kerjasama rapat dengan MCMC dalam usaha memperkukuhkan keselamatan maklumat serta infrastruktur rangkaian negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat