Masalah kesihatan mental kanak-kanak, remaja meningkat dua kali ganda


Oleh: Haikal Tajuddin

PARLIMEN | Jumlah remaja dan kanak-kanak alami masalah kesihatan mental di Malaysia lebih tinggi, kata Timbalan Menteri kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata, data itu direkod menerusi tinjauan oleh Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) selari dengan laporan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Berdasarkan soalan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Wan Azizah Wan Ismail, ia telah merujuk kepada matrik keselamatan negara yang meletakkan teras ke lapan terhadap keselamatan rakyat.

“Dalam teras tersebut menyatakan berkenaan pengukuhan kesihatan minda dan ketahanan rakyat, berdasarkan hasil dapatan NHMS.

“Ia telah merekodkan 424,000 kanak-kanak bersamaan 7.9 peratus dalam lingkungan 10 hingga 15 tahun mempunyai masalah kesihatan mental yang lebih tinggi, selaras dengan data KKM 2019.

“Terkini, dapatan NHMS 2023, turut menunjukkan masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang meningkat kepada dua kali ganda iaitu 922,318 bersamaan 16.5 peratus,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui bahawa masalah rakan sebaya, perhubungan, buli, penyalahgunaan dadah serta rasa rendah diri menjadi penyumbang kepada tekanan yang tinggi sehingga mengundang kepada kemurungan dan keresahan.

“KKM amat prihatin terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan perlu diberi perhatian yang serius. Justeru, KKM telah mengariskan beberapa insiatif berpandukan strategi Kesihatan Mental Kebangsaan 2021-2025.

“Pertama, KKM sedang membangunkan pelan tindakan kesihatan mental kanak-kanak dan remaja mengikut pendekatan ‘whole-of-government’ dan ‘whole-of-society’.

“Seterusnya, KKM turut meningkatkan aksesibiliti kepada perkhidmatan kesihatan mental yang boleh diakses semua lapisan masyarakat.

“Menerusi Pusat Kecemerlangan, KKM turut melaksanakan kolaborasi merentas agensi antaranya kerjasama Kementerian Pendidikan melalui program Minda Sihat di setiap sekolah menengah dan rendah,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat