Oleh: Shafira Aziz
KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Dewan Negara, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melanggar perintah Adendum Diraja (Titah Adendum)
Titah Adendum tersebut melibatkan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Saya telah dihampiri oleh seorang individu tidak dikenal pasti yang menyerahkan sampul surat berisi keputusan Lembaga Pengampunan bersama titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 bertarikh 29 Januari 2024.
“Setelah meneliti kandungan dokumen itu, saya dapati terdapat pelanggaran perintah Adendum oleh kerajaan yang diketuai oleh Anwar.
“Maka dengan itu, saya membuat laporan polis mengenai isu ini,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Rabu.
Terdahulu, Anwar mengesahkan mengenai pengampunan Najib termasuk berkait Titah Adendum ada dibincangkan beliau bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ketika menjawab soalan lisan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada wujud atau tidak Titah Adendum untuk membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan di rumah.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur menetapkan 6 Januari depan untuk mendengar rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan bekas Perdana Menteri itu.
Dalam kenyataan berbeza, Istana Pahang menegaskan tidak akan beri sebarang kenyataan berkait Titah Adendum tersebut.
Baca juga: