Pengisian guru di Sarawak capai 95 peratus – Menteri

Oleh: Shafira Aziz

PARLIMEN: Sehingga 30 November 2024, Sarawak mencatatkan kadar pengisian guru sebanyak 94.9 peratus dengan 41,125 guru telah mengisi 43,334 perjawatan yang disediakan.

Namun, kekosongan seramai 2,209 guru masih menjadi cabaran yang serius bagi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan komitmen KPM dalam menangani isu kekurangan guru di Sarawak dengan pelbagai langkah strategik.

“Ini termasuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian untuk menjawab pertanyaan Chiew Choon Man (PH-Miri) mengenai langkah KPM mengatasi isu kekurangan guru di Sarawak.

Katanya, langkah segera termasuk pengambilan guru berdasarkan kluster mata pelajaran, peluasan kepada graduan universiti swasta dan luar negara serta pelantikan guru secara Contract of Service (CoS).

Selain itu, beliau berkata, graduan tanpa pendidikan pula disediakan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) selama setahun.

Menurutnya, bagi perancangan jangka panjang, KPM mencadangkan pengambilan calon guru lepasan STPM dan matrikulasi serta penubuhan Jawatankuasa Pengambilan dan Penempatan Guru sebagai inisiatif utama.

Pada tahun 2024, seramai 1,697 guru baharu telah ditempatkan di Sarawak, menjadikan negeri itu antara penerima tertinggi tenaga pengajar baharu.

Selain itu, katanya, SPP turut meluluskan pengambilan khas Sarawak dengan 1,372 calon berjaya ditawarkan penempatan, mengurangkan kekosongan guru kepada 837 orang dan meningkatkan kadar pengisian guru kepada 98.06 peratus.

“Keutamaan diberikan kepada guru kelahiran Sarawak untuk berkhidmat di negeri mereka,” tambah Fadhlina.

Anda Mungkin Berminat