Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Selangor mengumumkan pelantikan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai ahli jawatankuasa baharu bagi penggal 2024-2027.
Mereka yang dilantik termasuk ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei, ADUN Sungai Pelek, Lwi Kean Keong dan ADUN Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao.
Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat kali kedua DAP Selangor pada 11 Disember lalu dan dilakukan secara sebulat suara dengan mengambil kira keseimbangan wilayah dan kepakaran.
“Lantikan ini penting untuk memperkukuh perkhidmatan dan memastikan penyampaian DAP Selangor terus cemerlang kepada rakyat,” katanya.
Katanya, bagi memperkukuh agenda parti, tujuh biro khas turut ditubuhkan.
Dalam satu hantaran di Facebook, beliau berkata, Pang Sock Tao akan memainkan peranan penting dalam jawatankuasa Dasar Awam bersama Lim Yi Wei sementara Lwi Kean Keong mengetuai Biro Pertanian.
“Keseimbangan ini adalah langkah strategik bagi memenuhi keperluan masyarakat yang pelbagai,” katanya.
Tambahnya, DAP Selangor juga komited menjalin kerjasama erat dengan Kerajaan Pusat.
Ng menekankan bahawa pertemuan bersama akar umbi dan rakyat akan diteruskan bagi memastikan dasar-dasar yang digubal relevan dan memberi impak positif.
“Semalam kami bertemu akar umbi di Hulu Langat, dan sesi sebegini akan diteruskan tahun hadapan untuk memperkukuh hubungan dengan rakyat,” ujarnya.
Langkah ini, katanya, adalah kunci untuk memastikan DAP Selangor kekal relevan dan mampu membawa perubahan yang diinginkan masyarakat.
Berikut merupakan senarai penuh Jawatankuasa DAP Negeri Selangor 2024-2027:
