PM titip pesanan tentang zakat, santuni komuniti Putrajaya


Oleh: Shafira Aziz

PUTRAJAYA: Hari Jumaat sering mengingatkan umat Islam tentang keberkatan memberi dan itulah yang diterapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menunaikan solat Jumaat di Surau Darul Ulum, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Putrajaya, Anwar berkongsi khutbah bertajuk ‘Bahagia Memberi, Syurga Diganjari’ yang menyentuh soal pentingnya berzakat dan melaksanakan amalan wakaf.

“Antara lain khutbah menitip pesanan kewajipan berzakat dan melaksanakan amalan wakaf melalui saluran-saluran yang disediakan dalam mencari keberkatan hidup di dunia dan akhirat,” kongsinya di Facebook.

Sebelum itu, usai mesyuarat Kabinet, Anwar singgah di Medan Selera Presint 11 untuk menikmati makan tengah hari bersama komuniti setempat dengan ditemani seorang pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 13, Wan Aish Asyraaf, 11.

“Saya sempat menjamah juadah disediakan sambil bertukar pandangan mengenai isu-isu semasa dengan wakil penduduk,” tambahnya.

Selepas menghabiskan masa bersama komuniti, Anwar kembali ke pejabat untuk tugasan rasmi seterusnya. Beliau turut menitipkan doa untuk keberkatan semua pada hari Jumaat yang mulia ini.

“Moga kita semua terus diberkati pada hari Jumaat mulia ini, Insya-Allah,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat