Kongres Khas PKR: Bakal pinda Perlembagaan

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Kongres Khas Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan meminda perlembagaan parti yang menyentuh jumlah perwakilan, kuota gender, dan etnik pada Ahad ini.

Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, pindaan itu bertujuan memberikan hak kepada anggota parti untuk mengundi pemimpin pada sesi pemilihan akan datang.

“Semua anggota Cabang ada hak untuk mengundi dan memilih pimpinan mereka.

“Sekiranya di setiap Cabang itu mempunyai ahli yang lebih, maka setiap cabang itu akan mendapat perwakilan yang lebih untuk mengundi di Kongres,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara yang bertajuk ‘Wanita Dalam Reformasi Politik Malaysia’ terbitan Bernama TV, malam tadi.

Katanya, langkah itu merupakan hasil perbincangan di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) mengenai reformasi pemilihan bagi memastikan kredibiliti pemilihan pemimpin parti.

Beliau berkata, Kongres Khas di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam akan dilaksanakan secara hibrid, mengambil kira perwakilan dari negeri yang terkesan banjir.

Tambahnya, Kongres Nasional PKR dijangka diadakan selewat-lewatnya Mei tahun hadapan dengan jumlah keseluruhan perwakilan seramai 2,428 ahli.

Tambah Fuziah lagi, negeri-negeri yang terlibat dengan banjir boleh menyertai secara dalam talian.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat