MARA komited tingkat bajet infrastruktur pendidikan

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebulat suara mengusulkan cadangan untuk meningkatkan bajet infrastruktur pendidikan Malaysia selaras dengan kebajikan pelajar.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah itu selaras dengan Bajet MARA 2025 untuk meningkatkan prestasi dan perkhidmatan institusi pendidikan.

Menurutnya, cadangan itu dibuat susulan hasil tinjauan di beberapa institusi pendidikan di bawah MARA.

“Bajet akan ditingkatkan untuk penyelenggaraan fasiliti dan penambahbaikan prasarana di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Profesional Mara (KPM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Institut German-Malaysia (GMI) dan semua Institut Pendidikan Mara (IPMa),” katanya.

Beliau menekankan bahawa perbelanjaan mesti ditumpukan kepada perkara asas seperti tandas dan asrama.

Mesyuarat Majlis MARA turut meluluskan bajet bagi operasi dan gerak kerja MARA dalam sektor pendidikan, keusahawanan dan pelaburan.

“Langkah ini bertujuan memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan secara berkesan, efisien, tidak membazir, tidak tiris dan mengikut tatakelola yang ketat serta memenuhi mandat yang diamanahkan,” ujarnya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat