PETALING JAYA: Ahli Dewan Negara, Mohd Hasbie Muda mencadangkan kerajaan untuk menetapkan had nisbah hutang isi rumah pada 65 hingga 70 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Langkah itu katanya, bertujuan mengurangkan dan mengawal hutang isi rumah yang kini mencecah hampir 84 peratus daripada KDNK dengan jumlah hutang sebanyak RM1.57 trilion sehingga Jun 2024.
Hasbie juga menekankan pentingnya mempercepat pelaksanaan Akta Kredit Pengguna (CCA) untuk mewajibkan penyedia kredit bukan bank seperti perkhidmatan ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ (BNPL) mematuhi standard kehematan dan garis panduan berkaitan bagi melindungi pengguna kewangan.
“Ini diharapkan dapat mengurangkan risiko keberhutangan berlebihan terutama dalam kalangan peminjam muda dan berpendapatan rendah,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, pakar ekonomi mencadangkan kerajaan mempromosi alternatif pinjaman untuk tujuan peribadi, perumahan, kenderaan dan perniagaan bagi mengawal dan mengurangkan peratusan hutang isi rumah.
“Contohnya, menggunakan Qardh al-Hasan (pinjaman ihsan) menggantikan pinjaman peribadi dan Musyarakah Mutanaqisah menggantikan pinjaman perumahan,” katanya.
Baca juga: