Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan sindiket pemerdagangan orang dalam Operasi Khas pada 11 Disember 2024 di tiga lokasi di Cheras, Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang bermula pada pukul 9.11 malam itu berjaya menahan tiga lelaki warganegara Bangladesh dan seorang wanita yang dipercayai dalang utama.
Dalam operasi tersebut, 11 lelaki warganegara Bangladesh berusia 30 hingga 38 tahun yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi berjaya diselamatkan.
Zakaria berkata, pasukannya turut merampas 17 pasport, 20 telefon bimbit, wang tunai RM800 dan USD800, serta dua kenderaan.
Menurut JIM, modus operandi sindiket itu melibatkan membawa warganegara Bangladesh sebagai pelancong dan menguruskan pasport, visa serta tiket penerbangan mereka.
Katanya, mangsa kemudian ditempatkan di rumah transit dengan bayaran RM15,000 setiap orang dan tambahan RM5,000 untuk keluar dari rumah transit.
Sindiket ini didakwa telah beroperasi selama tiga bulan.
Tiga lelaki warganegara Bangladesh ditahan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, manakala seorang wanita ditahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63.
JIM menegaskan akan meneruskan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berkaitan imigresen dan pemerdagangan orang.
Baca juga: