Eyra Hazali sifatkan netizen melampau doa suami lumpuh

Oleh: Hanim Nadia

PELAKON, Eyra Hazali meluahkan rasa terkilan apabila netizen mendoakan keburukan terhadap suaminya yang juga merupakan penjaga gol pasukan bola sepak Harimau Malaya iaitu Haziq Nadzli.

Kata Eyra atau Hazira Qasdina Hazali, 25, dia dapat menerima segala kecaman yang dilemparkan namun menyifatkan tindakan mendoakan suaminya lumpuh adalah melampau.

“Caci makian anda (netizen) lemparkan, kami boleh terima. Tapi hinaan, mendoakan suami saya lumpuh, melibatkan anak-anak kami adalah melampau.

“Saya berdoa semoga doa-doa itu tidak berbalik pada anda dan keluarga. Dan kami sentiasa ada untuk Haziq,” luahnya di Instagram.

Terdahulu, skuad Harimau Malaya tewas tipis 0-1 kepada Thailand malam tadi dalam saingan Piala Asean 2024 yang berlangsung di Stadium Rajamangla, Bangkok.

Kesilapan yang dilakukan Haziq pada minit ke-57 ‘membantu’ Patrik Gustavsson menyumbat gol selepas gagal mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya dengan selamat.

Susulan itu, kecaman dan kritikan netizen membanjiri platform media sosial.

Hasil tinjauan Malaysia Bangkit, boleh dilihat penyokong setia Malaysia seakan-akan tidak boleh menerima apa yang dilakukan oleh Haziq.

“Bukan kali pertama, Apa nak pelik,” tulis Asyraf Mohd Zawawi.

“Keeper minta maki ke… main dah cantik keeper pula buat hal,” luah Alam Alie.

“Cukup lah panggil keeper ni wakil HM… berlambak lagi keeper lain best dari dia… dari dulu lagi aku tak berkenan dengan dia ni…,” kata Ahmad Nazri.

Anda Mungkin Berminat