Tengku Zafrul akan beri kenyataan dalam masa terdekat

SUNGAI BESAR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan memberi kenyataan mengenai spekulasi mendakwa beliau meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam masa terdekat.

Tengku Zafrul berkata, beliau belum membuat sebarang komen mengenai isu itu termasuk spekulasi mengaitkannya menggantikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

“Saya belum membuat apa-apa komen mengenai politik melibatkan diri saya dan pada masa sama, kita sudah dengar semalam (Sabtu) yang Menteri Besar (Amirudin) telah pun membuat kenyataan beliau akan menghabiskan penggal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Larian Kebajikan dan Inklusiviti Teras Inspirasi (KITA) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Serap pada Ahad, memetik laporan media tempatan.

Ditanya adakah beliau akan mengumumkan perkara itu semasa Kongres Khas PKR di Shah Alam pada Ahad, Tengku Zafrul memaklumkan tidak mengetahui tentang kongres terbabit.

“(Saya) tidak tahu bila kongres (PKR) dan kita tunggulah (kenyataan) masa terdekat,” jelas beliau.

Sebelum ini media melaporkan, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu dikaitkan untuk menerajui Selangor menggantikan Amirudin yang akan ke Kabinet.

Desas-desus itu mendapat perhatian Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi apabila beliau tidak dapat mengesahkan dakwaan itu.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan beliau akan kekal di negeri itu sehingga ke akhir penggal ini, demi menjamin kestabilan ekonomi dan Kerajaan Perpaduan.

“Saya melihat pelbagai bentuk spekulasi yang menular dua tiga hari ini. Sebagaimana nasihat Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah) kepada saya dan Tuanku perkenan untuk saya menyebut nasihat ini kepada semua.

“Saya akan kekal di Selangor hingga ke akhir penggal ini demi menjamin kestabilan ekonomi dan Kerajaan Perpaduan Selangor,” katanya lapor media tempatan.

Kenyataan itu sekali gus menafikan spekulasi kononnya Tengku Zafrul sebagai pengganti Amirudin seperti dilaporkan sebelum ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat