Oleh: Fazleen Safina
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki cedera selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai dilanggar lari oleh sebuah kereta, dalam kejadian di Kilometer (KM) 8, Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) dekat sini pada Ahad.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, hasil siasatan awal mendapati, kemalangan itu berlaku pada jam 12.35 tengah hari apabila mangsa berusia 34 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda Vario 160 pada mulanya bergerak lurus di lorong kiri jalan.
Namun, katanya, secara tiba-tiba motosikalnya dilangggar oleh sebuah kereta putih jenis Mercedes GLE450 yang dipandu lelaki warga tempatan berusia 34 tahun.
Jelasnya, akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh di jalan raya manakala pemandu kereta tidak berhenti dan terus memandu ke arah Wangsa Maju.
Katanya, perjalanan pemandu kereta itu sebaliknya terhenti di KM 18.1 Lebuhraya SPE sebelum Plaza Tol Wangsa Maju, setelah mengalami kebakaran bermula dari bonet hadapan.
“Penunggang motosikal mengalami kecederaan pendarahan di kepala, muka dan perut manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Zamzuri berkata, kes tersebut diklasifikasikan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh JSPT Kuala Lumpur.
Tambahnya, pemandu kereta sudah pun ditahan manakala permohonan reman ke atas suspek dibuat pada Isnin.
“Orang ramai dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati dan berhemah supaya tidak menyebabkan kecederaan kepada pengguna jalan raya lain.
“Sekiranya terlibat dalam kemalangan adalah menjadi tanggungiawab kepada pengguna jalan raya untuk membuat laporan polis dengan segera, sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 53 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.
Sejak Ahad, tular video yang dirakam daripada kamera papan pemuka (dashcam),memaparkan pemandu kereta tersebut disyaki melanggar lari seorang penunggang motosikal.
Dalam video berasingan, nasib tidak menyebelahi pemandu kereta itu kerana kenderaannya dilihat terbakar dari bonet hadapan.
Kedua-dua video berkenaan turut dikongsi oleh abang ipar penunggang motosikal di laman Instagram @bazlybaly yang mahukan keadilan buat mangsa.
Menurutnya, mangsa sudah pun mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur manakala laporan polis berkaitan perkara tersebut turut dibuat.
Baca juga: