Oleh: Fazleen Safina
PETALING JAYA: Kenderaan elektrik (EV) pertama negara, e.MAS7 akan menjadi kereta rasmi rasmi ketika Malaysia menjadi Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan e.MAS7 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) di ibu negara pada Isnin.
Beliau berkata, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk menyokong usaha sama antara pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton) dan pembuat kereta China Geely dalam mengeluarkan e.MAS7.
“Untuk ASEAN tahun depan e.MAS7 adalah kenderaan rasmi kita.
“Kita mahu dan harapkan ia dapat mempromosi kemampuan kita menghasilkan kereta elektrik bermutu,” katanya.
Ucapan Anwar itu turut disiarkan secara langsung di laman Facebook rasminya.
Mengimbas kembali sejarah gemilang Proton yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Anwar berkata, jenama tersebut menempuh pasang surut dalam pembangunannya manakala kejayaan pada hari ini merupakan pengajaran yang telah dipelajari.
Justeru, katanya, pengurusan Proton harus diperkukuh sementara tanggungjawab kerajaan pula adalah memberi kerjasama dan bantuan yang diperlukan.
“Kerajaan tidak harus campur tangan dalam pengurusan dan bebaskan mereka dengan latihan, keupayaan dan tatakelola ke tahap lebih baik.
“Proton mengambil inisiatif dan belajar daripada pengalaman lepas serta promosi secara agresif dalam menawarkan bukan sahaja kenderaan moden dan sotisfikated, malah kereta yang bersifat mesra alam,” katanya.
Model e.MAS7 ditawarkan pada harga anggaran bermula RM120,000 menerusi dua varian iaitu Prime dan Premium.
Kedua-dua varian itu menyokong pengecasan pantas arus terus (DC) yang mengambil masa sekitar 30 minit untuk mencapai 80 peratus dari 10 peratus.
Dilengkapi bateri 49.52 kWh, varian Prime menawarkan jarak pemanduan sehingga 345 kilometer (km), manakala Premium hadir bersama bateri 60.22 kWh dengan jarak pemanduan 410 km.
Untuk rekod, Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN kali kelima sepanjang sejarah keanggotaan dalam blok seranta itu iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Baru-baru ini, Malaysia sekali lagi menerima tugas itu bagi 2025 daripada Laos, yang mana upacara simbolik serahan tugas kepada negara ini akan bermula pada 1 Januari 2025.
Baca juga: