KLUANG: Seorang lelaki penganggur dengan sembilan rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah, ditahan polis selepas disyaki cuba merogol seorang peniaga wanita berusia 24 tahun di tandas awam Laman Kreatif, Kampung Melayu, pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Hussin memaklumkan kejadian berlaku pada pukul 5.20 petang ketika mangsa menggunakan tandas awam wanita.
“Mangsa mendapati salah satu tandas dalam keadaan pintu tertutup, tetapi tidak mengesyaki apa-apa.
“Ketika mangsa mahu masuk ke tandas lain, suspek tiba-tiba keluar dan mengarahkan mangsa diam.
“Suspek kemudian mengunci pintu tandas dan menghalang mangsa keluar.
“Mangsa yang ketakutan menjerit meminta bantuan, tetapi suspek mendekati dan menindih badannya, sambil merangkul pinggang serta menekup mulut mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Nik Mohd Azmi, mangsa bertindak gigih mempertahankan diri dengan menggigit tangan suspek dan mencakar mukanya sebelum berjaya melarikan diri.
Polis menerima laporan daripada orang awam dan bertindak menahan suspek di lokasi kejadian tidak lama kemudian.
Suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini selepas permohonan dibuat di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul kehormatan.
Baca juga:








