PM meriahkan malam kesenian ‘Manifestasi Tiga Seni’

PETALING JAYA: Malam kesenian berjudul ‘Manifestasi Tiga Seni’ anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir dihiasi dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Acara itu menghimpunkan karya seni dalam pelbagai cabang seperti puisi, seni lukis dan muzik.

Mengimbau kembali sejarahnya, Anwar dalam satu hantaran berkata, acara itu berlanjutan daripada penganjuran yang sama sejak lewat 1970an sebagai usaha menyatukan negara pasca tragedi 13 Mei.

“Seni sebagai wahana (medium) yang menyatukan semesetinya menjadi sisi penting dalam usaha membanguna serta membina bangsa.

“Dewasa ini seni seharusnya bergerak dengan bebas dan disemarakkan, termasuk yang bersifat kritikal terhadap kekuasaan dan dalam apa jua bentuk,” katanya

Majlis malam tadi diserikan dengan sesi deklamasi sajak dan puisi oleh sasterawan dan penyair terkemuka serta persembahan muzik oleh Azizul Hakim, Asmidar dan lagenda tanah air, Datuk Ramli Sarip.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada DBP dan Syarikat Mik & Bell Production Sdn. Bhd. atas kejayaan penganjuran acara itu.

Anda Mungkin Berminat