Malaysia tawar Turkmenistan kepakaran sistem kewangan Islam

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Turkmenistan bersetuju memperkukuh hubungan dalam sektor perdagangan dan pembangunan industri halal semasa pertemuan rasmi antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden Turkmenistan, Tuan Yang Terutama (TYT) Serdar Berdimuhamedov.

Menurut Anwar, mereka menekankan pentingnya meningkatkan perdagangan komoditi seperti minyak kelapa sawit, getah, dan koko.

“Kami bersetuju untuk memperluaskan kerjasama dagang, termasuk dalam bidang komoditi yang strategik,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis.

Selain itu, Anwar juga memaklumkan Malaysia menawarkan kepakaran dalam sistem kewangan Islam, manakala kerjasama industri halal dijangka membuka peluang ekonomi baharu.

“Kerjasama dalam industri halal adalah langkah strategik yang mampu memanfaatkan kedua-dua negara,” tambah beliau.

Penubuhan Dewan Perniagaan Malaysia-Turkmenistan pula dilihat sebagai platform penting untuk merancakkan hubungan perniagaan.

Malaysia dan Turkmenistan juga sepakat meneroka hubungan antara ASEAN dan Central Asia 5 (C5) bagi menyokong sistem antarabangsa yang lebih adil dan inklusif.

“Kami komited untuk menjalin kerjasama serantau demi manfaat bersama,” jelas Anwar.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat