PETALING JAYA: Umat Islam di negara ini yang tidak dapat mengerjakan ibadat haji pada tahun hadapan masih berpeluang berbuat demikian menerusi rayuan secara atas talian.
Ketua Jabatan Tabung Haji (TH), Mohd Hisham Harun memaklumkan, rayuan tersebut boleh dibuat menerusi aplikasi dan laman sesawang THiJARI mulai Khamis hingga 31 Januari 2025.
Beliau berkata, proses rayuan haji dibuka
lebih awal bagi mengelakkan proses rayuan haji dilakukan pada saat-saat akhir.
“TH akan memberi keutamaan rayuan mahram, pengiring jemaah lanjut usia dan
pengiring bagi jemaah kelainan upaya (OKU) yang terpilih menunaikan haji
pada musim haji 1446H/2025M.
“Para pendeposit TH boleh memuat turun aplikasi THiJARI melalui App Store atau
Play Store atau melayari laman sesawang www.thijari.com.my untuk mengetahui
proses membuat permohonan rayuan, menyemak kategori rayuan dan status
permohonan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, sila layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.
Terdahulu, seramai 31,600 jemaah bagi musim haji 1446H/2025M akan menerima surat tawaran secara berperingkat mulai Isnin lalu.
Kadar bayaran haji untuk seorang bakal jemaah muassasah kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadah itu ditetapkan pada RM15,000, manakala RM23,500 untuk kumpulan M40 dan T20 perlu membayar penuh iaitu RM33,300.
Baca juga: