Prasarana peroleh 250 bas elektrik, buka ruang syarikat tempatan

PETALING JAYA: Perolehan 250 unit bas elektrik oleh Prasarana Malaysia Berhad memberi peluang besar kepada syarikat tempatan untuk membekalkan bas elektrik buatan tempatan dan menyokong pembangunan ekosistem industri bas elektrik di Malaysia.

Perkara itu merupakan antara topik yang dibincangkan dalam Mesyuarat JK Pemandu EV Kebangsaan pada Khamis.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penerimaan terhadap kenderaan elektrik (EV) di Malaysia semakin baik, dengan jualan mencapai 19,147 unit sehingga November 2024 berbanding 13,257 unit pada tahun 2023.

“Pada tahun 2025, pasaran EV dijangka melonjak lebih tinggi dengan pelancaran dua model jenama nasional.

“MITI komited memastikan pembangunan industri dan ekosistem EV negara terus berkembang secara progresif dan berdaya saing,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.

Untuk info, kerajaan melaksanakan beberapa dasar termasuk pelepasan cukai untuk pembeli EV.

Malaysia juga menghapuskan subsidi diesel tahun ini yang membuatkan syarikat perniagaan menggunakan EV dengan lebih cepat.

Anda Mungkin Berminat