Oleh: Syahirah Harish
TELUK INTAN: Seramai 28 pendatang asing tanpa izin (PATI), terdiri daripada 15 lelaki dan 13 wanita warga Indonesia, Myanmar dan Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada 19 Disember atas 28 kesalahan imigresen.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, kesemua tertuduh ditahan hasil operasi penguatkuasaan di 11 lokasi di sekitar Ipoh dan Taiping.
“Operasi ini merupakan usaha berterusan untuk membanteras kehadiran PATI dan memastikan undang-undang imigresen dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Meor Hezbullah juga mengingatkan masyarakat supaya tidak menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah atau memberi perlindungan kepada mereka.
Menurut beliau, daripada jumlah PATI yang ditahan, 15 didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan berada di Malaysia tanpa dokumen sah, sementara 12 lagi didakwa di bawah Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal melebihi tempoh pas yang dikeluarkan.
Manakala, katanya, seorang PATI didakwa di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.
Selain PATI, tambah beliau, seorang warganegara Malaysia turut dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan tiga PATI warga Indonesia bekerja di premis kawalan keselamatannya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM18,000 dengan jumlah keseluruhan mencecah RM137,000.
Hukuman penjara antara enam hingga 24 bulan turut dikenakan bagi kesalahan tertentu.
Meor Hezbullah menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap majikan yang gagal mematuhi undang-undang termasuk mereka yang menggaji PATI tanpa dokumen sah.
“Tiada kompromi dalam hal ini kerana ia memberi impak kepada keselamatan dan kestabilan negara,” ujarnya.
Baca juga:








