Rogol bawah umur di PPS, sebutan semula 14 Januari depan

KOTA BHARU: Mahkamah Sesyen Kota Bharu menetapkan kes rogol bawah umur untuk sebutan semula pada 14 Januari ini dan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Memetik Sinar Harian pada Sabtu, suspek lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan mengaku tidak bersalah pada 12 Disember lalu.

Sebelum itu, tertuduh ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan satu kes rogol remaja bawah umur dilaporkan berlaku di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di sini semasa banjir pada 2 Disember lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kejadian berlaku pada jam 12.30 tengah malam itu membabitkan seorang gadis berusia 15 tahun dan suspek lelaki berusia 23 tahun juga buruh binaan.

“Mangsa dan suspek dikatakan baru berkenalan di PPS terbabit dan dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu di sebuah stor sekolah yang dijadikan PPS tersebut.

“Perlakuan mereka diketahui abang gadis berkenaan sebelum keluarganya bertindak membuat laporan polis,” katanya

Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan mengeluarkan notis penamatan amaran banjir di negeri itu yang membabitkan enam jajahan iaitu di Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu dan Tanah Merah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat