LLM jangka lebih 2.55 juta kenderaan guna lebuh raya minggu depan


Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Arah aliran trafik di lebuh raya utama dijangka mencecah 2.55 juta kenderaan sehari menuju ke wilayah timur, utara, dan selatan, bersempena Krismas dan cuti akhir tahun.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Sazali Harun berkata sebanyak 2.12 juta kenderaan akan menggunakan lebuhraya di bawah Kumpulan PLUS.

Jelasnya, jumlah tersebut masing-masingnya melibatkan empat lebuh raya iaitu Lebuhraya KL ke Karak (188,130 kenderaan); Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (87,380); Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (39,830) dan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) sebanyak 115,590 kenderaan.

“Untuk memastikan kelancaran trafik sepanjang cuti perayaan Hari Natal ini, LLM telah mengarahkan kesemua syarikat konsesi lebuh raya untuk melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna lebuh raya adalah selamat dan lancar sepanjang tempoh ini,” ujarnya.

Susulan itu, Kerajaan melaksanakan pemberian tol percuma sempena perayaan Hari Natal yang akan disambut pada hari Rabu, 25 Disember ini melibatkan kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja pada 23 Disember sehingga 24 Disember di semua plaza tol kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara Selatan dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya laluan Kedua Malaysia -Singapura (LINKEDUA).

“Untuk kemudahan pengguna lebuhraya, Pusat Pengurusan Trafik LLM akan beroperasi dari jam 7 pagi hingga 10 malam.

“Bagi mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui paparan CCTV di semua lebuh raya, pengguna juga boleh melayari laman sesawang LLM di https://www.lIm.gov.my. Di samping itu, maklumat keadaan trafik mash boleh diperolehi daripada WhatsApp Channel LLM Info Trafik,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat