MP PKR sokong Bank Negara kawal selia insurans perubatan

PETALING JAYA: Empat Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyokong langkah sementara Bank Negara Malaysia (BNM) dalam usaha memerangi caj perubatan yang kian meningkat.

Mereka juga berterima kasih dengan keprihatinan Perdana Menteri dan Kerajaan kerana mendengar keluhan rakyat dan mencampur tangan memperbetulkan keadaan.

“Ini adalah langkah positif ke arah mengawal kecelaruan pemegang polisi insurans/takaful (ITO) perubatan dan kesihatan (MHIT).

“Namun, kita juga memahami bahawa permasalahan pokok inflasi kesihatan berlaku pada hospital-hospital swasta.

“Disebabkan perkara itu, kami bersetuju dengan kenyataan Gabenor bahawa kita harus menyelesaikan masalah pokok (root causes) kepada kenalkan dan inflasi perubatan,” ujar mereka dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Tambahnya, mereka juga menerima aduan individu yang memiliki insurans terpaksa membayar dua kali ganda berbanding individu yang tidak memiliki sebarang insurans.

“Contohnya, pesakit denggi yang menggunakan Guarantee letter (GL) akan membayar RM4,978 manakala pesakit “pay and claim” hanya membayar RM1,288 dengan perbezaan empat kali ganda.

“Pesakit pneumonia yang menggunakan GL membayar RM6,859 dan pesakit pay and claim hanya membayar RM2,654, dengan perbezaan tiga kali ganda,” katanya.

Justeru, dalam kenyataan bersama itu, mereka berpendapat ada keperluan meneliti permasalahan caj hospital swasta yang tinggi.

“Kami menyeru rakyat terus bersama kami dalam perjuangan kami mewujudkan satu ekosistem perubatan swasta yang mampan, mampu biaya dan menang-menang kepada semua pihak. Ini suatu perjuangan yang panjang dan susah.

“Ekosistem hospital swasta yang mampan akan menyelamatkan hospital awam daripada “overcrowding” dan meringankan pembiayaan kerajaan. Ini akan membantu golongan B40 mendapat rawatan yang lebih baik daripada hospital kerajaan.

“Maka, kami menyeru pesakit-pesakit hospital swasta yang menghadapi caj hospital swasta yang tidak munasabah mengadu kepada aduan.pkr.hospital.insurans@gmail.com,” katanya.

Kenyataan media itu dikeluarkan bersama oleh MP Bayan Baru, Sim Tze Tzin; MP Tebrau, Jimmy Pua; MP Sungai Petani, Taufiq Johari, MP Miri, Chiew Choon Mun dan Senator Bob Manolan.

Terdahulu, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia telah memaklumkan bahawa terdapat caj perubatan yang berbeza dan tidak telus.

Bank Negara juga bertindak mengawal selia kenaikan premium insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) adalah intervensi jangka pendek agar rakyat tidak terbeban dengan inflasi yang mendadak.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat