PETALING JAYA: Kebebasan mahkamah mesti dihormati, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ujarnya, beliau mengambil sikap berhati-hati dalam menyatakan pandangan peribadi mengenai isu undang-undang ketika diminta pemberita mengulas mengenai pembebasan Datin Seri Rosmah Mansor daripada tuduhan pengubahan wang haram.
“Kenapa (tanya saya berkenaan kes Rosmah)? Anda nak saya campur tangan dalam proses kehakiman? Saya ada pandangan peribadi dan sebab peribadi, sama ada saya suka atau tak.
“Tetapi kita perlu bercakap tentang kebebasan kehakiman. Bagaimana anda nak kebebasan kehakiman?
“Kedua, apabila hakim beri keputusan berbeza, anda salahkan pihak lain, anda tidak setuju dengan keputusan (yang dibuat),” katanya lagi ketika bercakap pada sidang media di Subang pada Sabtu, memetik Malaysiakini.
Tegas Anwar lagi, pihak pendakwaan juga tidak setuju dengan keputusan itu dan akan memfailkan rayuan.
Anwar turut meluahkan rasa kesal terhadap kritikan terhadapnya berkaitan kes-kes mahkamah, yang disifatkannya sebagai tidak munasabah dan hipokrit.
“Saya ada pandangan, tetapi saya tak boleh campur tangan.
“Anda boleh tanya Ketua Hakim Negara, dua tahun dalam jawatan (sebagai perdana menteri), saya tak pernah campur tangan dalam mana-mana kes, tak pernah campur tangan dengan mana-mana hakim dalam apa-apa isu…Adakah itu pernah berlaku sebelum ini?” katanya lagi.
Perdana Menteri menyifatkan beberapa pendakwaan berprofil tinggi pada 2018 dilakukan secara “tergesa-gesa” dan dicemari oleh “racun dan permusuhan.”
“Anda juga perlu tahu pada masa itu, pendakwaan dilakukan dengan tergesa-gesa, (dengan) racun, permusuhan dan dendam politik oleh pihak yang berkuasa ketika itu, sehingga banyak pendakwaan ada kelemahan,” katanya.
Pada Khamis lalu, Rosmah yang juga isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dibebaskan daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Hakim membenarkan permohonan Rosmah untuk membatalkan kes tersebut atas alasan pertuduhan itu cacat dan gagal mendedahkan unsur penting dalam kesalahan yang didakwa telah dilakukan.
Baca juga: