Ulasan | Murid miskin paling risiko keciciran pelajaran

Oleh: Dr Anuar Ahmad

AHAD lepas saya bersama isteri ikut temani cucu, Maryam ke kelas muziknya. Ada mini persembahan. Maryam membuat persembahan di kelas piano. Kelas piano dia hanya ada enam orang murid. 

Selain kelas muzik, Maryam juga ke kelas renang setiap hujung minggu, kelas al Quran setiap pagi sebelum ke sekolah dan kelas Matematik Kumon seminggu sekali. Semua kelas ini tak ramai murid, ada yang lima orang, ada yang tujuh orang murid sahaja.

Pada setiap cuti sekolah Maryam akan ke Kem Sains & Inovasi di sebuah sekolah swasta di Putrajaya. Peluang untuk Maryam mendekati sains secara aktiviti. Setiap kumpulan  kecil murid disediakan dengan dua orang guru yang melaksanakan pelbagai aktiviti ujikaji sains. Setiap kali tamat kelas, Maryam akan selalu bercerita tentang seronoknya beliau dengan pelbagai ujikaji dan aktiviti di dalam kem sains. 

Rancangannya, apabila tamat sepenuhnya kelas renang, Maryam akan masuk kelas tekwando pula. Tertekan? Tentulah Maryam ada masanya rasa tertekan. Lepas satu, satu kelas yang Maryam ikuti. Belum lagi dengan berbagai kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru sekolah.  

Tetapi kami sekeluarga tahu apa yang Maryam lalui adalah baik untuk dirinya. Hari ini kemahiran Matematik dia sangat memuaskan. Bacaan Al Quran juga semakin baik. Maryam juga sudah mahir berenang. Kem inovasi pula membuka minat beliau untuk belajar lebih banyak tentang sains, meningkatkan pemikiran kreatif dan kemahiran komunikasi Bahasa Inggeris. 

Bagi anak seperti Maryam, ketiadaan peperiksaan di sekolah tidak banyak memberi kesan kepada motivasi pembelajaran kerana beliau sudah kuasai 3M, fasih dalam bahasa Melayu dan Inggeris serta penguasaan akademiknya telah mendahului silibus sekolah. 

Tetapi ramai anak-anak yang tidak berpeluang seperti Maryam. Mereka memerlukan peperiksaan sebagai asas motivasi untuk terus belajar. Mereka hanya ada sekolah sebagai tempat untuk belajar. Tidak ada sokongan di tempat lain. Tanpa peperiksaan dan sekadar mengharapkan ‘keseronokan belajar’-(yang sebenarnya hanya mitos di kelas yang sesak murid),  anak-anak ini akan hilang fokus dan akhirnya keciciran. 

Sudah banyak kajian menunjukkan anak-anak khususnya daripada keluarga miskin paling berisiko keciciran jika tiada bantuan dan pemantauan yang baik. 

Bayangkan, bagaimana anak-anak ini akan mendapat ‘keseronokan belajar’ di dalam kelas yang sesak murid? Kelas yang panas, bising dan rimas. 

Bayangkan, bagaimana anak-anak ini akan ‘seronok belajar’ jika guru di depan kelas terpaksa terjerit -jerit semasa mengajar kerana kelas yang bising disebabkan terlalu ramai murid? Dari mana datangnya ‘keseronokan belajar’? Tidak mungkin. 

Peperiksaan seperti UPSR bukan sahaja bertujuan menaksir keupayaan murid tetapi juga menjadi instrumen membina motivasi dan mendisiplinkan murid. Itu yang ramai orang tidak sedar. 

Kerana adanya peperiksaan, murid-murid akan beri perhatian kepada pengajaran guru. Kerana adanya peperiksaan, ibubapa mengambil peduli perkembangan pendidikan anak-anak di rumah. Kerana peperiksaan juga, guru-guru mempunyai fokus dan matlamat yang jelas untuk mereka capai setiap kali masuk ke kelas. 

Peperiksaan bukanlah sesuatu yang buruk jika diurus secara berkesan. Peperiksaan juga bukan alat pertandingan.

Melaksanakan peperiksaan yang berkualiti adalah lebih baik berbanding sekadar melaungkan slogan ‘keseronokan belajar’ tanpa peperiksaan.

Pada saya, slogan ‘keseronokan belajar tanpa peperiksaan’ hanyalah ‘mitos’ di dalam kelas yang sesak murid, ditambahkan pula dengan silibus yang sukar dan padat.

***Penulis adalah Felo Bersekutu Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) dan giat menulis mengenai isu pendidikan di sosial medianya

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat