Polis sahkan kematian kucing di UM kerana serangan anjing liar

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan kematian beberapa ekor kucing di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan berpunca daripada serangan anjing liar, selepas menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, tiga laporan polis berkaitan kejadian itu diterima pada 17, 20, dan 21 Disember 2024.

Berdasarkan rakaman CCTV, tiada saksi menyaksikan kejadian itu secara langsung, namun kelihatan sekumpulan anjing liar menyerang kucing-kucing terbabit.

“Hasil rujukan dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengesahkan kecederaan yang dialami kucing tersebut adalah akibat serangan anjing liar,” kata Rusdi dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu bagi mengelakkan kegelisahan.

“Jika ada maklumat, orang ramai diminta menyalurkannya kepada talian Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Tambah beliau, sebarang aduan berkaitan penganiayaan haiwan juga boleh dilaporkan secara rasmi kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar di laman web rasmi mereka bagi memastikan tindakan tegas diambil terhadap pelaku yang menyakiti haiwan.

Sebelum ini, tular mengenai kematian kucing-kucing berkenaan, yang telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat