KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak saman fitnah difailkan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berhubung kenyataan pada satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM), empat tahun lalu.
Menerusi saman difailkan pada 3 Julai 2020, Yeoh mendakwa Musa memberi ucapan pada forum ‘Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?’ dengan mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai diri beliau dan dibuat dengan niat jahat serta mencemarkan nama baiknya.
Kenyataan dipertikaikan itu didakwa menuduh Yeoh menulis buku bertajuk ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan negara, serta meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara.
Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi, bagaimanapun menolak saman berkenaan dan memerintahkan Yeoh selaku plaintif untuk membayar kos RM40,000, selepas mendapati Menteri Belia dan Sukan itu gagal membuktikan kenyataan terbabit secara keseluruhan merujuk kepada beliau dan Musa (defendan) bertanggungjawab atas penerbitannya.
Arziah dalam penghakiman berkata, walaupun wacana awam mesti seimbang antara perlindungan dengan reputasi, mahkamah mendapati Yeoh gagal membuktikan Musa mempunyai niat jahat dan kenyataan dikeluarkannya itu berunsur fitnah.
Beliau berkata, majlis forum itu dilindungi keistimewaan dan Musa mempunyai alasan munasabah dalam kenyataannya berdasarkan pengakuan serta penulisan Yeoh dalam buku terbabit.
Arziah berkata, forum itu dianjurkan oleh Kursi Institut Majlis Raja-Raja UiTM dan dengan itu mempunyai kredibiliti institusi, manakala Musa sebagai bekas Ketua Polis Negara pula ada tanggungjawab moral serta sosial untuk bercakap mengenai perkara membabitkan negara.
“Kenyataan itu dibuat pada forum membincangkan isu keselamatan negara, di mana defendan bercakap sebagai bekas Ketua Polis Negara mengenai ancaman keselamatan yang dirasakan.
“Ketaranya, tiada bukti sebarang niat jahat kerana defendan membuat kenyataan berdasarkan analisis akademik dalam konteks kebimbangan terhadap keselamatan negara.
“Defendan hanya penceramah jemputan tanpa mengetahui forum akan disiarkan, dan hanya mengetahui penstriman Facebook Live pada penghujungnya. Dia tidak mempunyai kawalan ke atas penerbitan (kenyataan) itu,” katanya, memetik Berita Harian.
Arziah berkata, hak perlembagaan bagi kebebasan bersuara mesti dilindungi dengan teguh, terutama mengenai perkara berkepentingan awam dan kenyataan yang dibuat pada acara dilindungi.
Beliau berkata, walaupun ucapan yang bertanggungjawab adalah penting, tokoh awam mesti mengharapkan dan bertolak ansur dengan kritikan serta perbahasan mengenai kenyataan dan aktiviti mereka.
Baca juga: