Sesak di lebuh raya utama, perjalanan panjang menanti pemandu


Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Sempena cuti persekolahan, perayaan Krismas dan hujung tahun yang bakal disambut beberapa hari sahaja lagi, rata-rata warga kota kini mengambil peluang pulang ke kampung halaman.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), laluan Lebuhraya Kuala Lumpur yang menuju ke Karak berada dalam keadaan sesak hari ini.

“Sekitar jam 1.29 petang tadi, kesesakan trafik bergerak dalam keadaan yang agak perlahan dari arah timur iaitu di plaza tol Gombak ke Genting Sepah.

“Kesesakan itu turut sejajar dengan arah laluan barat di hentian sebelah Gombak ke plaza tol Gombak,” jelas pihak LLM pada Isnin.

Dalam pada itu, tinjauan Malaysia Bangkit di media sosial turut menemukan kesesakan lalu lintas di beberapa lebuh raya lain, antaranya berlaku di sepanjang jalan ke utara iaitu dari Ipoh Selatan ke Jelapang.

Laluan jalan di Matang Sarawak juga turut dilaporkan menghadapi kesesakan lalu lintas.

Oleh hal demikian, pihak LLM menasihati orang awam untuk lebih berhati-hati sewaktu memandu, di samping menjaga penjarakan kenderaan di hadapan bagi mengelakkan berlaku sebarang kemalangan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat