Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membawa perubahan yang cepat kepada negara hasil daripada kerja keras beliau sepanjang memimpin Kerajaan Perpaduan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Anwar sangat komited dalam usaha meningkatkan prestasi ekonomi dan mengekalkan kestabilan politik negara.
“Saya lihat usaha, kesungguhan ditonjolkan oleh Anwar itu tidak boleh dilawan.
“Anwar adalah seorang ahli politik yang tekun dan bekerja keras. Itu terbukti dengan usaha beliau yang berjaya membawa perubahan cepat dan nyata dalam pentadbiran,” katanya.
Amirudin berkata demikian ketika menjadi tetamu program Sembang Malam bertajuk ‘Dua Tahun Kerajaan Perpaduan Pimpinan Anwar Ibrahim’ terbitan Selangor TV.
Program itu turut menampilkan Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar.
Amirudin menegaskan bahawa imej Anwar yang sentiasa ke hadapan menjadikan beliau tumpuan utama dan sasaran pelbagai pihak.
Fahmi pula menyatakan bahawa pelbagai perubahan telah dibawa oleh Perdana Menteri sepanjang dua tahun menerajui Kerajaan Perpaduan termasuk dalam bidang ekonomi, pelaburan asing, pentadbiran kerajaan dan usaha melawan rasuah.
Baca juga: