Loke arah JPJ siasat segera kemalangan maut di Lebuhraya PLUS

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengambil tindakan segera terhadap kemalangan tragis yang meragut tujuh nyawa di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Kenyataan itu dikongsikan beliau melalui Facebook untuk mengenal pasti punca kemalangan dan membuat susulan terhadap syarikat lori treler serta bas yang terlibat.

“Siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berpunca daripada tayar lori treler yang tercabut sehingga menyebabkan bas persiaran terbabas dan merempuh tiga kenderaan dari arah bertentangan.

“JPJ diarahkan untuk menjalankan siasatan terperinci dan melaksanakan penguatkuasaan tegas terhadap kenderaan perdagangan berat bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan,” katanya.

Menurutnya, kemalangan tragis itu berlaku di Kilometer 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara sekitar pukul 8.30 malam yang melibatkan lima kenderaan termasuk sebuah treler dan bas pelancong.

Mangsa yang maut termasuk pemandu MPV, Khairul Ikhwan Mazupi (32), isterinya Fadzlenna Ramli (32), anak bongsu mereka Muhammad Umar Khairul Ikhwan (2), bapa mentuanya Ramli Ab Wahab (66) serta isteri dan pemandu bas pelancong, Noorisnien Khamid (56) selain seorang lagi penumpang bas yang identitinya belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, tayar hadapan sebelah kanan lori Foton yang dipandu lelaki berusia 31 tahun tercabut dan menyebabkan bas pelancong hilang kawalan serta terbabas ke laluan bertentangan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat