PM Anwar selar kuasa besar, negara barat biarkan kekejaman Israel

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sikap kuasa besar dan negara barat yang membiarkan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin.

Beliau berkata, dunia menyaksikan episod getir dan kelam namun rejim Israel tetap secara berterusan melakukan serangan.

“(Serangan) itu diteruskan dan disahkan atau dibiarkan oleh kuasa besar pelopor demokrasi, kebebasan, liberalisme barat dan Amerika Syarikat. Itu sangat membingungkan,” katanya pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, sepanjang penglibatan di dalam politik beliau tidak pernah terfikir akan muncul gelagat kelompok manusia yang sekejam itu.

“Saya dalam dunia politik lama tetapi saya tidak terfikir akan muncul di zaman kini gelagat kelompok manusia sekejam itu.

“Kita menyaksikan dalam sejarah episod getir dan gelap tetapi itu diteruskan dan disahkan dibiarkan kuasa-kuasa besar pelopor demokasi kebebasan liberalisme barat dan Amerika Syarikat, itu sangat membingungkan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan beberapa pemimpin negara telah menghubungi rakan sejawat di dunia Islam dan serantau dalam usaha membantu meredakan tekanan penduduk Palestin khususnya di Gaza.

Anda Mungkin Berminat