Nahas Ayer Keroh: Pemandu Lori Dirakam Keterangan

PETALING JAYA: Polis selesai merakam keterangan pemandu lori yang tayar kanannya tercabut sehingga mengakibatkan tujuh terkoban di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara, malam Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, percakapan lelaki tersebut diambil bagi membantu siasatan kemungkinan wujud unsur kecuaian sehingga mengakibatkan tayar kenderaan berat itu tercabut.

“Pemandu berusia 31 tahun itu diambil keterangan malam tadi bagi membantu siasatan kes,

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas pemandu itu juga menunjukkan dia bebas pengaruh alkohol dan dadah.

“Kita juga sedang mendapatkan rakaman video daripada ‘dashcam’ (papan pemuka) memaparkan tayar di atas jalan raya sehingga ia tular di media sosial,” katanya memetik laporan media tempatan.

Sehubungan itu, beliau meminta pemilik kenderaan ‘dashcam‘ berkenaan tampil bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, kes juga akan dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri selepas kertas siasatan lengkap.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, nahas membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dan sebuah Perodua Bezza.

Tujuh mangsa maut adalah pemandu Toyota Estima, Khairul Izwan Mazupi, 32 tahun, isterinya, Fadzlenna Ramli, 32 kedua ibu bapanya, Fauziah Jaafar, 69, dan Ramli Ab Wahab, 66 serta pelancong warga Singapura, Lamrah Asid Ali, 66.

Turut maut adalah anak pasangan muda itu Muhammad Umar, 2 dan pemandu bas persiaran, Noorisnien Khamid, 56.

Kesemua mangsa maut telah selamat dikebumi semalam.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat