Liverpool atasi Leicester City 3-1 di Anfield

LIVERPOOL FC terus memperkukuhkan kedudukan di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menundukkan Leicester City 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Anfield.

Jordan Ayew membuka jaringan untuk Leicester seawal minit ke-6 melalui penalti, namun Cody Gakpo menyamakan kedudukan untuk Liverpool pada masa tambahan separuh masa pertama.

Curtis Jones memastikan Liverpool berada di hadapan dengan gol kedua pada minit ke-49 sebelum Mohamed Salah melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada minit ke-82.

Kemenangan itu memastikan Liverpool terus berada di puncak carta dengan tujuh mata di hadapan Chelsea dan Arsenal.

Leicester City pula kini berada di tempat ke-18 selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut.

Dalam pada itu, Pengurus Liverpool, Arne Slot dalam satu kenyataan selepas perlawanan itu berkata, pasukan itu perlu terus fokus kepada setiap perlawanan secara berasingan selepas pasukannya mendahului di puncak Liga Perdana Inggeris.

“Saya rasa jika anda sudah lama dalam permainan ini, seperti pemain-pemain dan saya juga, maka anda tahu 20 perlawanan sebelum berakhir anda tidak melihatnya.

“Anda tahu banyak cabaran masih di hadapan. Saya rasa dua bulan lalu kami satu mata di belakang (Manchester) City dan lihat apa yang telah berlaku di sana.

“Daripada segi kecederaan dan kemudian mengalami sedikit nasib malang, anda mendapat penggantungan. Ini boleh berlaku kepada mana-mana pasukan, jadi terlalu awal untuk meraikan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat