Oleh: Hanim Nadia
LANGKAWI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan tidak akan membenarkan kenaikan tarif elektrik yang boleh menjejaskan rakyat.
Katanya, kenaikan kadar itu tidak seharusnya diletakkan kepada majoriti rakyat, sebaliknya kepada golongan maha kaya atau industri yang mencatatkan keuntungan luar biasa.
“Kita tidak benarkan kenaikan elektrik yang menjejaskan orang ramai. Kenaikan seperti mana yang dahulu itu (penyasaran subsidi elektrik) hanya melibatkan golongan atasan mahakaya atau industri yang mencatatkan keuntungan.
“Rakyat terbanyak tidak terkesan dari kenaikan elektrik walaupun saya faham kos meningkat (sebab kenaikan tarif), tetapi walaupun kos meningkat, dia tak boleh menjejaskan kedudukan majoriti rakyat.
“Ini dari segi dasar, saya faham keperluan naik tapi kenaikan tidak boleh melibatkan kedudukan kos kepada majoriti rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Masjid Al-Hana, Langkawi di Kedah, selepas menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,500 jemaah.
Justeru itu, beliau akan meminta penjelasan daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung kenaikan itu.
Terdahulu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengumumkan, tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna di Semenanjung menerusi pelaksanaan kadar pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun tahun depan.
Keputusan yang dibuat pada 13 Disember lalu merupakan komitmen kerajaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat dengan memastikan pengguna domestik terus dilindungi menerusi pelaksanaan subsidi secara bersasar.
Secara keseluruhannya, jumlah subsidi elektrik bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 yang akan dibiayai oleh kerajaan kali ini adalah sebanyak RM2.3 bilion.
Baca juga: