Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh disifatkan dangkal kerana mempertikaikan pengampunan yang diperoleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Haziq Azfar berkata tindakan Akmal yang mempersoalkan keputusan Lembaga Pengampunan itu tidak boleh diterima.
“Keberadaan rayuan Anwar Ibrahim dalam Lembaga Pengampunan sudah jelas diterangkan dalam kenyataan media pembebasan penuh beliau yang dikeluarkan oleh Istana Negara pada 16 Mei 2018.
“Keluarga Anwar (Perdana Menteri) telah mengemukakan permohonan pengampunan Diraja sejak 2015, ditolak dan telah melakukan rayuan.
“Rayuan yang dibuatlah membolehkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Lembaga Pengampunan memberi pengampunan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, Mahkamah Persekutuan juga telah mengesahkan penghakiman Mahkamah Rayuan pada tahun 2021.
“Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Lembaga Pengampunan yang memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengurniakan pengampunan kepada Anwar Ibrahim telah dibentuk secara sah dan betul bawah Lembaga Pengampunan,” ujarnya.
Haziq turut mempersoalkan bahawa tidak mungkin tiada seorang pun peguam dalam kalangan Pemuda UMNO yang boleh dirujuk oleh Akmal Saleh tentang perkara ini.
Baca juga: