2024 saksi ekonomi negara meningkat, diiktiraf pemimpin kuasa besar – Anwar


Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Berbaki satu hari lagi menutup tirai 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bangga dengan prestasi ekonomi negara yang meningkat di persada antarabangsa.

Beliau berkata dengan rangkaian lawatan rasmi ke luar negara serta kunjungan pembesar dunia ke Malaysia sepanjang tahun ini telah memperkukuh hubungan dengan negara-negara luar.

“Malaysia kini dilihat sebagai rakan strategik yang dihormati, menerima pengiktirafan daripada pemimpin negara kuasa besar atas peranan kita dalam memperjuangkan isu-isu global.

“… terutama dalam mendukung keadilan buat rakyat Palestin serta memperjuang tatanan dunia yang lebih adil dan seimbang,” katanya menerusi Facebook pada Isnin

Sebagai pengerusi ASEAN 2025, Anwar berkata Malaysia sudah bersiap sedia untuk menjadi pengukuh dalam menggalas tanggungjawab bagi merintis kebangkitan negara-negara ASEAN.

“Menjelang 2025, Malaysia bersedia menggalas tanggungjawab merintis kebangkitan ASEAN, membawa rantau ini ke era baharu yang lebih terangkum dan mampan.

“Dengan sokongan padu masyarakat antarabangsa, kita melangkah ke tahun hadapan dengan penuh keyakinan untuk memacu kemakmuran bersama,” katanya.

Pada 27 Disember lalu, Anwar mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra.

Terdahulu, beliau juga turut mengadakan pertemuan secara dua hala dengan presiden Rusia, Vladimir Putin di Vladivostok, Rusia.

Selain itu, PMX juga turut mengadakan pertemuan dengan presiden Perancis, Emmanuel Macron dan beberapa lagi presiden dari negara lain bagi menjalinkan kerjasama secara dua hala bukan sahaja dari segi ekonomi, malah menyelesaikan isu-isu sosial.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat