Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Kira-kira 50 peserta ‘Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah’ berkumpul di hadapan pintu Gerbang Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu untuk berarak ke Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di Menara Kinabalu pada Selasa.
Perhimpunan Aman Gempur Rasuah anjuran sekumpulan pelajar yang menggelar diri mereka sebagai Suara Mahasiswa UMS berkumpul sejak 1 tengah hari tadi sebelum berarak menuju ke PPNS kira-kira jam 2 petang tadi.
Sebelum itu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyatakan solidariti kepada gerakan mahasiswa di Sabah yang turun berhimpun secara aman dalam himpunan tersebut.
Badan bukan kerajaan (NGO) itu mengingatkan semua pihak bahawa hak berhimpun dan bersuara adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10.
“Semua rakyat berhak menyatakan kegusaran dan tuntutan mereka secara aman dan berdasarkan lunas undang-undang serta prinsip hak asasi manusia.
“Himpunan yang digerakkan mahasiswa di Sabah ini menjadi bukti bahawa rakyat sentiasa mengawasi setiap gerak-geri kerajaan dan inginkan kerajaan yang bebas rasuah,” ujarnya pada Isnin.
Bersih turut meminta semua pihak bersikap sivil dan menghormati hak bersuara masing-masing.
Baca juga: