Semua universiti awam diarah untuk tidak menolak kemasukan mana-mana pelajar yang menghadapi kekangan kewangan untuk membayar yuran pendaftaran pengajian universiti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, arahan telah dikeluarkan supaya pelajar yang terbabit diberi peluang mendaftar dan melapor diri.
“Saya beri arahan tidak ada universiti yang boleh menolak mana-mana pelajar miskin, mesti daftar, beri nama dia dan kementerian atau jabatan harus selesaikan.
“Arahan tahun ini, pertama kali dalam sejarah, tidak ada anak kita dari mana saja, dari kaum mana juga, yang miskin tidak mampu bayar yuran yang ditolak universiti, biar daftar dulu, kemudian dia lapor, beri dia ruang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan bersama warga Kementerian Kewangan, di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar memberitahu, beliau mendapat maklumat terdapat keluarga dari Ampang dan Tambun menolak pelawaan masuk ke universiti kerana tidak mampu membayar yuran pendaftaran.
Jumaat lalu, Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen mengumumkan yuran pendaftaran memasuki universiti awam tidak melebihi RM1,500 bermula Januari depan.
Malah, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat daripada mendaftar subjek pada setiap semester dengan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.
Ujarnya, langkah itu selari dengan jumlah Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak.