Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan didominasi Kerajaan Perpaduan sekali lagi jika Pakatan Harapan (PH) bersatu dengan UMNO.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata pendapatnya itu bersandarkan reputasi Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai tunjang utama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Gabungan ini telah mengembalikan kestabilan politik negara, sekali gus buktikan bahawa Zahid adalah pemimpin yang berstrategi.
“Sebab itu saya amat setuju dengan keyakinan PMX (Perdana Menteri ke-10) yang ada beri isyarat macam nak buat PRU16 lebih awal. PMX yakin kalau pilihanraya dibuat dalam tempoh terdekat ni, Kerajaan Perpaduan boleh menang besar sebab mood rakyat tengah elok,” kongsinya di Facebook pada Rabu.
Dalam kenyataan sama, Jazlan yang Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara turut mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah ‘dalang’ kerana cuba menjatuhkan reputasi UMNO.
Ujarnya, propaganda yang dibuat oleh negarawan itu kepada Zahid kini seakan-akan memakan diri sendiri.

“Saya lihat selama ini, Zahid jadi sasaran mudah oleh pembangkang dengan macam-macam gelaran jahat seperti penyamun, perompak dan kaki rasuah.
“Gelaran ini bagi saya bukan sekadar gurauan, tapi propaganda jahat yang disusun rapi untuk burukkan Zahid dan UMNO. Lepas tu ramai juga yang termakan dengan fitnah jahat ini.
“Siapa dalangnya? Tidak lain tidak bukan, Mahathir. Mahathir dan golongan liberal serta kononnya intelektual Klang Valley memanipulasikan sistem pentadbiran dan perundangan negara.
“Tapi, mahkamah akhirnya membersihkan namanya, kita dapat lihat bahawa dakwaan terhadap Zahid adalah pertuduhan politik dan jahat,” katanya.
Baca juga: