Oleh: Kamilia Ali
SEREMBAN: Muzium Tentera Darat Port Dickson, Negeri Sembilan mengenakan bayaran tiket masuk bermula 1 Januari 2025 kepada pengunjung selepas beroperasi selama 19 tahun secara percuma.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi Muzium Tentera Darat, notis pemberitahuan telah dikeluarkan oleh pihak pengurusan berkenaan bayaran masuk setiap kategori disenaraikan.
Notis tersebut memaklumkan bahawa kanak-kanak antara 7 hingga 12 tahun, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas dikenakan bayaran berjumlah RM1 manakala, kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah dan bukan warganegara adalah percuma.
“Bagi kategori dewasa dan kanak-kanak bukan warganegara berumur tujuh hingga 12 tahun dikenakan bayaran tiket masuk dengan harga RM2 di samping pelancong luar negara pula dengan harga RM5,” jelasnya.
Muzium yang mula beroperasi secara rasmi pada 28 Jun 2005 ini dibuka dari hari Rabu hingga Ahad serta cuti umum bermula dari pukul 10 pagi hingga 5 petang dan waktu terakhir pembelian tiket adalah pada pukul 4.30 petang.
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi pihak pengurusan Muzium Tentera Darat di talian 011-53751886 yang menyediakan perkhidmatan pada hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 10 pagi sehingga 5 petang atau emel kepada muziumtd2020@gmail.com.
Baca juga: