Calon SPM ‘panik’, terpaksa diasingkan untuk jawab peperiksaan

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Belum sempat menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seorang calon dilaporkan terkena serangan ‘panik’, sehingga terpaksa diasingkan bagi menjawab peperiksaan bertulis hari ini.

Kejadian itu dikongsikan oleh seorang guru sebuah sekolah menengah di Shah Alam yang tidak mahu dikenali kepada Malaysia Bangkit pada Khamis.

Menerusi perkongsian itu, pelajar tersebut dipercayai terkena serangan panik selepas ditemubual oleh pihak media sebelum peperiksaan berlangsung.

“Sekarang ini, kami memang tidak boleh memberi sebarang keizinan untuk melakukan temu bual bersama mana-mana pelajar sewaktu hari peperiksaan.

“Ini adalah sebagai langkah terbaik supaya mereka tidak berasa panik seperti kejadian yang berlaku kepada pelajar SPM pagi tadi.

“Kami juga turut menerima arahan untuk memperketatkan peraturan, sekiranya ingin melakukan temubual bersama mereka, diwajibkan untuk mendapatkan surat sah daripada Unit Komunikasi Korporat KPM dan sama sekali tidak dibenarkan untuk terjah,” katanya lagi.

Dalam kes pelajar itu tadi, guru tersebut menjelaskan pelajar akan dibawa ke bilik ‘isolasi’ dan akan diberikan masa tambahan.

Hari ini, bermula perjuangan lebih 400,000 calon SPM untuk menjawab ujian bertulis di 3,000 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Baca lagi:

Anda Mungkin Berminat