PETALING JAYA: Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang bermula hari ini berjalan dengan lancar apabila mencatat kehadiran sebanyak 97 peratus pada hari pertama peperiksaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mengemaskini kehadiran calon yang belum mengesahkan kehadiran mereka.
“Kehadiran yang baik ini mencerminkan komitmen tinggi daripada calon-calon untuk menghadapi peperiksaan,” katanya menerusi satu sidang media KPM.
Pada masa sama, dalam usaha memastikan kelancaran peperiksaan bagi calon yang terjejas banjir, KPM telah bersiap sedia untuk mengaktifkan ‘SOP Ops Payung’ di enam negeri yang berisiko banjir, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Johor dan Sabah.
Fadhlina berkata, calon yang terjejas banjir akan ditempatkan di asrama atau pusat peperiksaan alternatif bagi memastikan keselesaan mereka sepanjang tempoh peperiksaan.
“Langkah-langkah ini diambil bagi memastikan calon-calon SPM dapat menduduki peperiksaan dengan tenang dan selamat walaupun berhadapan dengan cabaran cuaca yang tidak menentu.
“KPM akan terus memantau keadaan dan mengambil tindakan yang diperlukan bagi memastikan kelancaran proses peperiksaan,” katanya.
Untuk info, seramai 402,956 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2024 di 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Sebanyak 44,968 petugas peperiksaan sudah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan berkenaan.