UMNO batal Himpunan Solidariti Najib, akur titah Agong

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: UMNO tidak akan meneruskan Himpunan Solidariti kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dicadang berlangsung pada 6 Januari ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu diambil atas prinsip menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan sebagaimana gesaan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

“UMNO dengan penuh kerendahan diri akur atas segala saranan titah Tuanku agar menghormati kuasa prerogatif YDPA untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan dengan mengemukakan rayuan terhadap Najib, bekas perdana menteri yang banyak jasanya pada rakyat dan negara.

“UMNO tidak akan sesekali membelakangi Perlembagaan dan tetap menghormati apa jua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan sebagaimana Titah Tuanku.

“UMNO menaruh sepenuh keyakinan atas keihsanan dan kebijaksanaan YDPA dalam memberikan keadilan penuh kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, UMNO menjunjung hormat titah Sultan Ibrahim berhubung dengan kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, sebagai satu-satunya parti yang konsisten memperjuangkan dan mempertahankan institusi raja-raja Melayu sebagaimana termaktub dalam perlembagaan parti UMNO sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi kepada YDPA.

Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari 2025 untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat