Remaja perempuan ditahan polis selepas tikam ibu saudara

PETALING JAYA: Polis menahan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun selepas dipercayai menikam ibu saudaranya dalam satu kejadian di sebuah flat di Jalan Perai Jaya, Butterworth, Pulau Pinang pada pagi Jumaat.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi ketika pertengkaran mulut antara suspek dan mangsa yang berusia 35 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pertengkaran tersebut dipercayai berpunca daripada keinginan suspek yang tidak bersekolah untuk tinggal semula dengan ibu kandungnya, namun dihalang oleh mangsa.

“Semasa pertengkaran itu, suspek tiba-tiba menikam mangsa dengan sebilah pisau, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut sebelah kiri.

“Mangsa kini menerima rawatan di sebuah hospital, manakala suspek ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, hasil siasatan polis mendapati suspek tinggal bersama ibu saudaranya sejak empat hari lalu berikutan masalah keluarga.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata.

Anda Mungkin Berminat