Keputusan tidak teruskan tuntutan Batu Puteh, titik hitam sejarah negara

Oleh: Fazleen Safina

PETALING JAYA: Keputusan untuk tidak meneruskan permohonan Malaysia terhadap Pulau Batu Puteh merupakan titik paling hitam dalam lembaran sejarah negara ini dan Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan tersebut menyebabkan Malaysia kehilangan peluang untuk mendapatkan kembali wilayah jajahan Kesultanan Johor dan hak kedaulatan ke atas pulau itu kini terlucut buat selama-lamanya.

“Kerajaan negeri dan seluruh bangsa Johor menzahirkan rasa penuh dukacita atas pengkhianatan yang telah berlaku,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, penarikan permohonan untuk mendapatkan Batu Puteh tetap dilakukan meskipun wujud bukti kukuh menyokong tuntutan Malaysia.

Katanya, ini termasuk Hakim Majoriti Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengakui bahawa, Kesultanan Johor mempunyai hak milik ke atas pulau-pulau di Selat Singapura termasuk Batu Puteh sejak kurun ke-17.

“Realitinya, keputusan penarikan permohonan semakan dan tafsiran ICJ dilakukan secara sengaja tanpa asas munasabah yang bertentangan dengan fakta sejarah dan nasihat perundangan, malah membelakangi Jemaah Menteri dengan membuat keputusan secara sepihak,” katanya.

Justeru, tegasnya, kerajaan negeri menuntut agar setiap individu yang terlibat diheret ke muka pengadilan dan dihakimi oleh perundangan negara atas pengkhianatan tersebut.

Tambah Onn, kerajaan negeri juga tidak akan berkompromi terhadap pihak yang menggugat keharmonian dan kedaulatan negeri Johor atau negara.

“Kerajaan negeri juga berharap agar tidak ada mana-mana pihak yang cuba memutarbelitkan isu ini sehingga mengancam kedaulatan negeri dan negara,” ujarnya.

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dinyahklasifikasi pada 5 Disember lalu mendedahkan bahawa, pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamed secara sepihak membuat keputusan menarik balik permohonan semakan semula dan tafsiran keputusan ICJ pada 2008 yang menganugerahkan Batu Puteh kepada Singapura.

Menurut suruhanjaya itu, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah milik Malaysia.

ICJ turut memutuskan hak milik Tubir Selatan akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Anda Mungkin Berminat