PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan bahawa adalah kewajipan semua rakyat Malaysia untuk menjunjung tinggi serta memartabatkan Institusi Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Beraja sebagai lambang kedaulatan negara.
Beliau berkata, pihak kerajaan atau mana-mana pihak tertentu mempunyai obligasi untuk menyempurnakan titah Institusi Yang di-Pertuan Agong yang dibuat mengikut lunas perundangan negara termasuk titah tambahan (adendum) dalam hal pengampunan DiRaja.
“Rakyat berhak mengetahui hakikat sebenar mengenai kewujudan satu Titah Adendum yang telah menjadi isu berkepentingan awam dan mempersoalkan mengapa titah tersebut tidak dilaksanakan sekiranya telah dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong sejak setahun yang lalu,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa apa-apa perlakuan ingkar, menyembunyikan atau menafikan mana-mana titah yang dizahirkan oleh Institusi Yang di-Pertuan Agong adalah satu penderhakaan besar kepada raja dan negara.
“Suara rakyat yang ingin tahu akan kewujudan dan kedudukan Titah Adendum tersebut adalah hak bersuara yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dihalang oleh mana-mana pihak,” ujarnya.
Terdahulu, PAS tidak berhasrat untuk menyemak kembali seruan kehadiran ahli-ahlinya ke Himpunan Solidariti Najib di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, himpunan tersebut tidak menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong atau mengganggu proses Lembaga Pengampunan tetapi sebagai tanda solidariti terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.