Oleh: Fazleen Safina
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa, jangkitan virus ‘human metapneumovirus’ (hMPV) yang sedang menular di China bukanlah penyakit baharu.
Dalam kenyataan pada Sabtu, KKM menjelaskan bahawa, jangkitan hMPV di Malaysia tidak wajib dilaporkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Menurut KKM, penyakit itu adalah jangkitan saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus dalam keluarga Pneumoviridae.
“Sebanyak 327 sampel telah dikesan positif hMPV pada tahun 2024, meningkat berbanding 225 sampel pada tahun sebelumnya.
“Orang ramai dinasihatkan agar proaktif menjaga kesihatan diri dan mencegah jangkitan kepada orang lain, terutama di kawasan tertutup dan sesak.
“Mereka yang mengalami gejala berpanjangan atau semakin teruk perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan,” menurut kenyataan itu lagi.
Terdahulu, penularan hMPV di China kini berada pada tahap membimbangkan, menjejaskan beberapa negara Asia lain.
Malah, aduan mengenai hospital penuh sesak dan sistem penjagaan kesihatan yang tertekan akibat penularan pantas virus terbabit terutamanya di kawasan Utara China, menurut pihak berkuasa kesihatan negara itu.
Dalam pada itu, KKM turut menjelaskan bahawa peningkatan jangkitan saluran pernafasan akut pada hujung dan awal tahun adalah fenomena yang dijangka terutama di negara-negara bermusim sejuk seperti China.
“KKM sentiasa memantau perkembangan jangkitan saluran pernafasan dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, bagi jangkitan Covid-19, tiada kematian dilaporkan sejak 25 April 2024 dan varian SARS-CoV-2 yang sedang menular di Malaysia masih varian Omicron dan subvariannya.
Kata kenyataan itu lagi, tiada kes baharu varian Omicron dilaporkan sejak 24 November 2024.
KKM berkata, jangkitan influenza pula tidak wajib dilaporkan di bawah Akta 342, namun KKM sentiasa memantau melalui sentinel yang telah dikenal pasti di seluruh negara.
“Virus influenza A dilaporkan menurun 61 peratus pada 2024, manakala influenza B meningkat 39 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.