PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak penganjuran himpunan solidariti bagi menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dijadual berlangsung di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin depan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, permohonan penganjuran tersebut yang diterima pada 31 Disember lalu terpaksa ditolak kerana tidak lengkap.
“Pihak polis menolak kebenaran untuk tujuan perhimpunan.
“Pemakluman penolakan permohonan telah diberitahu kepada pihak penganjur pada Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, PDRM juga akan membuat persediaan kawalan keselamatan dengan kekuatan anggota seramai 456 orang.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan menetapkan Isnin sebagai tarikh mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.
Susulan itu, himpunan pada Isnin itu dirancang sebagai tanda sokongan terhadap Najib yang juga bekas Presiden UMNO.