Mahu segera pulang punca warga Palestin cetus kekecohan

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan berlaku kekecohan membabitkan warga Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) semalam.

ATM dalam kenyataan berkata, kekecohan yang berlaku pada jam 5 petang itu dipercayai berpunca daripada keinginan warga Palestin terbabit yang mahu proses permohonan kembali ke tanah air mereka dipercepatkan.

Bagaimanapun, katanya, pegawai dan anggota ATM dapat mengawal situasi tanpa membabitkan pergaduhan atau kecederaan menerusi perbincangan diadakan dengan kumpulan terbabit.

“Hanya berlaku sedikit kerosakan terhadap peralatan perabot di WTKL.

“Warga Palestin telah bersurai kira-kira 7.30 petang. Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan insiden berkenaan,” katanya.

Menerusi video tular di media sosial, sekumpulan warga Palestin berkenaan membuat kerosakan, termasuk membakar cadar bagi meluahkan rasa tidak puas hati.

Ada beberapa penghuni turut berkumpul di lobi WTKL sambil memegang kertas bertulis ‘mogok lapar’.

Insiden itu menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat yang kecewa dengan kekecohan yang berlaku dan berharap warga Palestin dapat dihantar pulang ke negara mereka.

Oktober lalu, kekecohan turut tercetus di lokasi sama membabitkan warga Palestin yang didakwa kurang berpuas hati kerana tidak dibenarkan keluar untuk menginap di luar premis berkenaan atas faktor keselamatan.

Pada 16 Ogos lalu, seramai 127 warga Palestin dan ahli keluarga tiba di Malaysia dengan menaiki dua pesawat A-400M TUDM.

Daripada jumlah itu, 40 daripadanya adalah pesakit akibat peperangan di Gaza yang datang untuk menerima rawatan di Malaysia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat